Friday, June 6, 2008

ISU :
KESELAMATAN NEGARA

Disediakan oleh :
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

PENGENALAN

Isu keselamatan negara merupakan suatu aspek yang sangat kritikal dan memerlukan perhatian daripada semua pihak. Suatu perkara yang amat menyedihkan sekiranya seseorang warganegara Malaysia mempunyai persepsi dan pemikiran bahawa menjaga keselamatan negara merupakan tanggungjawab dan peranan pihak polis dan tentera sahaja. Tambahan pula, senario dunia pada hari ini telah membuktikan keselamatan sesebuah negara bukan sekadar melibatkan kekuatan ketenteraan sahaja. Malah, terdapat beberapa dimensi lain yang perlu diambil perhatian. Antaranya keselamatan nasional, tradisional, bukan tradisional, politik, sosial, masyarakat dan alam sekitar.

2. Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai sejak merdeka menjadikan Malaysia semakin dikenali di seantero dunia. Malah, kepimpinan negara turut disegani dan menjadi contoh kepada beberapa buah negara lain. Faktor geografi yang strategik juga menyebabkan negara menjadi tumpuan pelbagai pihak, termasuklah kuasa – kuasa besar. Perkara ini sememangnya memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi negara. Namun, keselamatan negara perlu diperketatkan kerana kemasukan anasir – anasir luar yang tidak terkawal akan membawa musibah kepada negara.

3. Justeru, aspek keselamatan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan segala pencapaian dan keamanan negara dapat dikekalkan untuk generasi hadapan. Tanggungjawab penting ini perlu digalas bersama oleh setiap individu terutamanya dalam memastikan negara seiring dan setaraf dengan negara maju. Proses ini bukanlah suatu perkara yang mudah dan dipandang enteng. Tambahan pula, negara sememangnya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menongkah era globalisasi dan merealisasikan Wawasan 2020. Namun, semua impian tidak akan menjadi kenyataan seandainya negara dijajah semula akibat kelalaian dan tidak mementingkan aspek keselamatan.

ISU / MASALAH

4. Antara masalah yang berkaitan dengan isu keselamatan negara ialah :

Kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
Kemelut isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin ke negara ini telah diklasifikasikan sebagai isu keselamatan bukan tradisional yang perlu diberi perhatian serius. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh imigresen, seramai 28,468 orang pendatang asing tanpa izin telah dihadapkan ke Mahkamah PATI di Depoh Imigresen dari Disember 2006 hingga 3 Januari lalu dan telah dijatuhi hukuman. Selain itu, seramai 53,010 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan pada tahun 2007. Golongan ini juga sering terlibat dalam kes – kes jenayah seperti bergaduh, samun, bunuh, merompak dan rogol. Akibatnya, kadar jenayah di negara semakin meningkat dan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan selamat.

Penagihan dadah
Umum mengetahui pada tahun 1983, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan dadah sebagai suatu ancaman berbahaya kepada keselamatan negara, sekaligus memberi takrifan penagihan dadah daripada masalah sosial kepada masalah keselamatan negara. Kebelakangan ini, kadar penagih dadah di kalangan remaja dan belia yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara semakin meningkat. Statistik yang dikeluarkan oleh PEMADAM pada tahun 2005 menunjukkan jumlah penagih dadah yang berumur 18 tahun hingga 29 tahun adalah seramai 12,549 orang. Masalah dadah telah mengundang pelbagai kesan buruk termasuklah meningkatkan kadar jenayah, keganasan, peningkatan kes HIV seterusnya melemahkan ketahanan nasional. Hal ini berlaku apabila mereka mula hilang kewarasan dan tidak lagi memikirkan tanggungjawab yang sedang dipikul.

Gerakan Pemisah di negara jiran
Tindakan pencerobohan bersenjata dengan memasuki wilayah Malaysia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara iaitu pencabulan terhadap kedaulatan negara. Keselamatan negara akan terancam sekiranya berlaku penculikan dan masyarakat akan hidup dalam ketakutan. Segala aktiviti harian juga akan terjejas akibat pencerobohan yang berlaku.

CADANGAN PENYELESAIAN / RASIONAL

5. Berikut merupakan cadangan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Antaranya ialah :

Menambah bilangan pegawai imigresen untuk mengawasi laluan terpencil yang menjadi pintu masuk pendatang asing tanpa izin. Serbuan ke premis – premis yang menjadi tempat persembunyian golongan ini perlu dijalankan dengan kerap.

Meningkatkan kualiti infrastruktur di pintu masuk utama negara. Mesin pengimbas yang digunakan mempunyai kebolehan mengesan dadah yang dibawa oleh penyeludup. Perkara ini memerlukan kepakaran dalam bidang teknologi.

Mewujudkan kerjasama yang baik di antara pihak kerajaan dan pihak bukan kerajaan yang terlibat dalam menjaga keselamatan di peringkat yang lebih rendah. Contohnya, mewujudkan kerjasama di antara jabatan imigresen dengan pihak jawatankuasa kampung yang berhampiran dengan pintu masuk negara atau pun kawasan yang menjadi sasaran pendatang asing. Ini akan memudahkan sebarang maklumat disampaikan di antara satu sama lain.

Membentuk masyarakat penyayang terhadap bekas – bekas penagih dadah. Keadaan ini dapat membantu para penagih dadah daripada kembali menagih dadah di samping membina keyakinan diri yang tinggi untuk berbakti kepada bangsa dan negara. Anggota masyarakat pula perlu mengajak dan mendorong bekas – bekas penagih menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

Menubuhkan kelab/persatuan anti dadah di setiap institut pengajian tinggi. Badan ini perlu bergiat aktif dalam memberi pendedahan dan kempen kesedaran kepada golongan mahasiswa dan remaja berkaitan bahaya dadah serta taktik – taktik terbaru yang digunakan oleh sindiket dadah.

Menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepada pihak yang membekalkan dadah kepada para penagih. Hal ini termasuklah pusat – pusat perubatan dan klinik yang menjual bekalan ubat – ubatan seperti ubat batuk kepada para penagih dadah.

PENUTUP

6. Isu keselamatan negara sememangnya memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Sebarang kelalaian dan kesilapan kecil mampu mengundang musibah besar kepada negara. Generasi muda perlu sedar akan kepentingan menjaga keselamatan negara agar segala kesusahan dan pengorbanan generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tidak sia – sia.

No comments: