Friday, June 6, 2008

berucap semasa ucapan dasar Presiden PMUKM 07/08 di Bilik Senat, UKM


Bismillahirrahmaanirrahim……
Assalamu'alaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Datuk Dr. Sukiman Sarmani,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, UKM

Yang Berbahagia Prof Dato’ Dr. Ibrahim Komoo,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM

Yang Berbahagia Prof. Dr Saran Kaur a/p Delip Singh,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM

Pegawai-Pegawai Kanan UKM

Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman,

Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2007/2008,

dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, dan marilah kita berselawat dan mengutuskan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinan-Nya, maka pada hari yang bersejarah ini kita semua dapat berkumpul dalam satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah Dan Penyampaian Ucapan Dasar Presiden MPPUKM Sesi 2007/2008.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang ditubuhkan di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam merupakan salah satu platform untuk mengembangkan dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa depan. Penubuhan MPP juga merupakan satu badan penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan atasan universiti dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul di kampus.

Saya ingin memetik laungan yang sering dikumandangkan oleh seorang tokoh Indonesia. Beliau berkata, “Pemimpin itu tidak lahir dalam bilik-bilik kuliah namun lahir daripada kemelut permasalahan masyarakat”. Hal ini memberi erti yang jelas bahawa penubuhan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar ini jelas bertujuan untuk membantu mahasiswa dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Sidang hadirin sekalian,

Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kampus yang kita lalui pada hari ini sentiasa mengalami arus perubahan. Saban hari, ada saja pelbagai masalah dan isu baru yang timbul. Hal ini menyebabkan kita sebagai mahasiswa kadang-kala berasa tertekan dan ditekan. Sikap keterbukaan mahasiswa dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang munasabah untuk kepentingan bersama.


Ibarat perumpamaan dalam pepatah inggeris ini:

“There are three kinds of people… the one who sits in the chair of life looking and doing nothing (and becoming nothing), the second person who changes with time and by all the factors of change, and the last person is the one who create the changes.”

Berdasarkan kepada pekara di atas, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi ini telah menggariskan 5 dasar utama yang mendukung tema ‘Aspirasi Universiti Teras Perjuangan Mahasiswa’ dan seterusnya menjadi ‘the one who create the changes’. Dasar tersebut ialah:
1. Memperkasa agenda perpaduan dan integrasi kaum di kalangan mahasiswa
2. Perjuangan hak mahasiswa sebagai agenda utama.
3. Memfokuskan pelaksanaan konsep Islam Hadhari menggunakan pendekatan yang lebih efektif.
4. Mengangkasakan keilmuan dalam membentuk mahasiswa berkualiti dan berketerampilan.
5. Menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan mahasiswa sebagai duta global seterusnya memperkasa imej UKM.




Hadirin yang dihormati sekalian,
1. Memperkasa agenda perpaduan dan integrasi kaum di kalangan mahasiswa.
Selaras dengan hasrat universiti yang mahukan perpaduan dan integrasi di kalangan mahasiswa UKM diperkukuh, pelbagai aktiviti dan wacana pembudayaan telah pun dilaksanakan. Oleh itu, integrasi yang kukuh ini perlulah sentiasa di semai dan dibajai dengan galakan yang berterusan oleh semua pihak. Alangkah indah, sekiranya kita barjaya untuk mengharumkan suasana taman ilmu dan budi ini dengan wangian perpaduan yang senantiasa mekar hingga ke akhirnya.
Seorang sarjana Islam pernah bermadah “Bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan merinduinya dan jika kamu mati mereka akan menangisinya”.
Justeru, pihak kami di barisan kepimpinan MPPUKM akan berkongsi pandangan dan buah fikiran dengan seluruh warga kampus dalam mencapai matlamat ini. Segala isu yang berbangkit berkenaan agenda ini akan segera ditangani dan diberi perhatian yang serius.
Antara program yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi di kalangan mahasiswa ialah pertandingan Debat Perpaduan peringkat IPT Malaysia, Kem Bina Insan dan Jatidiri Bangsa Malaysia, Karnival Sukan Integrasi Peringkat Universiti dan Pesta Kebudayaan Bangsa Malaysia Peringkat IPT Malaysia. Semua program ini amat bermanfaat dan berbaloi untuk menjayakan hasrat semua pihak. Saya amat mengimpikan masyarakat kampus kini menjadi masyarakat yang memiliki minda yang terbuka.
Saya juga bangga jika universiti ini dikenali di seluruh dunia kerana membina tamadun yang berjaya menggabungkan pelbagai budaya secara harmoni. Impian ini Insya’Allah menjadi nyata dengan kesediaan kita membina masyarakat yang mengutamakan keharmonian budaya tanpa menjadikan batas agama sebagai penghalangnya.
2. Perjuangan hak mahasiswa sebagai agenda utama.
Pada kali ini, kepimpinan yang baru akan meneruskan tradisi perjuangan MPP sesi lepas dalam segala hal berkaitan kebajikan mahasiswa. Perjuangan mengenai hak ini sangat penting untuk dijaga kerana benih yang dituai itu perlu kepada penjagaan yang rapi jika mahukan hasil yang membanggakan. Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar pada sesi ini telah pun bersepakat memberi penekanan terhadap 4 perkara utama.
i. Kediaman
Sebagaimana yang kita ketahui, masalah yang berbangkit adalah mengenai yuran kolej yang tidak selaras, kemudahan tandas yang tidak selesa, perkhidmatan kafeteria dan harga makanan yang masih mahal di dalam kawasan kampus dan kolej kediaman. Oleh itu, kami merayu dan bertekad supaya perhatian yang serius akan diambil oleh pihak pengurusan atasan universiti bagi membantu untuk menyelesaikan perkara ini. Saya juga memohon agar pihak Dato’ untuk terus memberikan sokongan padu dalam cita-cita kami bagi mengatasi segala masalah yang timbul ini dengan berkesan dan berjaya.

ii. Pengangkutan
Masalah ini merupakan masalah yang kerap kali diketengahkan. Walaubagaimanapun, kami tidak akan memandang remeh perkara ini. Usaha yang berterusan bersama bantuan pihak pengurusan atasan universiti pasti akan membuahkan hasil. Saya memohon pihak Dato’ untuk mengambil perhatian yang serius terhadap beberapa masalah yang berkaitan perkara ini. Antara masalah mahasiswa UKM terhadap aspek pengangkutan ini ialah berkaitan kenderaan seperti bas dan kenderaan universiti yang lain. Golongan mahasiswa UKM sering menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem perjalanan bas di UKM. Oleh itu, saya memohon pihak Dato’ membantu kami dengan memperkemaskan lagi jadual perjalanan bas yang sedia ada. Selain itu, saya juga ingin memohon kepada pihak pengurusan atasan universiti agar lebih mengutamakan permohonan pelajar untuk menggunakan kenderaan universiti dalam segala aspek. Sekiranya permohonan pelajar ini tidak diutamakan, maka ramai golongan mahasiswa yang akan terkandas dalam menghadiri program-program yang penting yang mana program ini juga merupakan program anjuran universiti.
Berpaksikan iltizam yang telah dinyatakan, MPPUKM akan membina satu pasukan yang mantap dan prihatin bagi menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh warga kampus. Dengan cogankata ‘masalah anda, masalah kami’, pihak kami akan sedaya upaya melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kepentingan semua pihak.

iii. Infrastruktur
Perubahan dan pembaharuan yang dapat dinikmati kita pada hari ini merupakan hasil perjuangan yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Oleh itu, kami barisan MPPUKM akan sentiasa memperjuangkan masalah yang di hadapi warga kampus demi kebaikan mahasiswa sekalian.
Permasalahan mengenai infrastruktur juga penting untuk diambil perhatian. Sebagai contoh, masalah kawasan meletak kenderaan yang terhad, kekurangan susur gajah di sekitar kampus, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan sebagainya merupakan masalah yang perlu ditangani segera. Hal ini kerana, masalah-masalah ini telah menyebabkan berlakunya pelbagai perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, masalah ponteng kuliah dan sebagainya.
Saya juga ingin meluahkan hasrat seluruh warga mahasiswa agar pihak pengurusan atasan universiti mengambil berat akan masalah yang saya sebutkan tadi dan segera mengambil langkah penyelesaian yang efisyen agar tidak akan ada lagi masalah yang timbul. Untuk pengetahuan pihak Dato’, masalah kemalangan di dalam kawasan kampus kita amatlah serius. Hal ini dibuktikan melalui pengalaman saya sendiri yang turut sama membantu menghantar pelajar yang cedera akibat kemalangan ke pusat kesihatan UKM dan Hospital yang berdekatan. Walaupun kecuaian merupakan faktor utama masalah ini berlaku, namun punca-punca lain seperti lampu jalan yang tidak berfungsi juga menjadi faktor penting masalah ini terjadi.

iv. Kemudahan
Dalam menjayakan usaha pihak universiti untuk memartabatkan imej UKM di peringkat global, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk memelihara kebajikan mahasiswa. Oleh itu, kami barisan MPPUKM akan melipatgandakan usaha untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan yang timbul berhubung dengan perkara ini.

Antara masalah yang sering diutarakan oleh mahasiswa ialah berkaitan pinjaman atau biasiswa, kemudahan internet, kekurangan kawasan untuk mengulangkaji pelajaran, dan sebagainya. Justeru, pihak kami MPPUKM akan lebih peka dan mengambil perhatian yang serius terhadap setiap masalah yang dihadapai oleh golongan mahasiswa di kampus.

Dalam rangka untuk meningkatkan keselesaan kepada golongan mahasiswa, saya mencadangkan agar pihak Dato’ dapat memberi kebenaran untuk mewujudkan kawasan pembelajaran 24 jam di beberapa tempat di UKM ini. Sebagai contoh, kawasan laman Perpustakaan Tun Seri Lanang dan pusat kemudahan pelajar di kolej kediaman merupakan kawasan yang strategik untuk digunakan pelajar bagi aktiviti pembelajaran terutamanya pada musim peperiksaan. Hal ini akan dapat memberi kemudahan kepada para pelajar untuk mengulangkaji pelajaran mereka dalam keadaan yang lebih baik.



Untuk pengetahuan pihak Dato’, perkhidmatan jaringan internet tanpa wayar juga sering medapat perhatian oleh warga kampus. Oleh itu, saya memohon perkara ini dapat diselesaikan segera pada sesi kami pada kali ini agar semua pihak dapat menikmati kemudahan ini dengan segera demi manfaat semua.

Pada kali ini, kami sebagai MPP juga ingin memohon kepada pihak pengurusan universiti agar dapat menyediakan komputer di pejabat kami kepada semua exco PMUKM agar segala aktiviti dapat dijalankan dengan lebih mudah dan perkhidmatan kami kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif dan berkesan. Begitu juga dengan keadaan pejabat kami yang sangat sederhana dan saya dengan sukacitanya menjemput pihak Dato’ agar berkunjung ke pejabat kami untuk melihat keadaan yang sebenar. Permintaan atau cadangan yang kami berikan ini bukanlah untuk kepentingan peribadi, tetapi semua ini untuk kepentingan bersama dan demi menjaga imej UKM di peringkat global. Selepas ini, sudah pasti banyak delegasi yang akan datang ke UKM dan apabila semua perkara ini dapat diberikan, maka sudah pasti pandangan masyarakat luar akan terus tinggi terhadap UKM dan sememangnya UKM merupakan yang terbaik dan terhebat.






3. Memfokuskan pelaksanaan konsep Islam Hadhari menggunakan pendekatan yang lebih efektif.

Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.
Hal ini secara jelas tidak akan merosakkan segala keharmonian yang telah wujud. Prinsip dalam Islam Hadhari yang diamalkan ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Kampus kita juga dicorakkan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama. Setiap agama mempunyai corak dan budaya yang unik dan tersendiri. Menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli keluarga yang besar ini seharusnya memiliki budaya toleransi dan hormat-menghormati terhadap penghayatan dan pengamalan agama masing-masing. Matlamat untuk membina kampus sejahtera akan tercapai seandainya setiap mahasiswa mengamalkan keseluruhan tuntutan agama masing-masing. Saya percaya bumi UKM yang tercinta ini berjaya melahirkan ilmuan yang disegani dan insan yang berakhlak yang mulia.

Maka dengan ini, MPPUKM ingin menggalakkan seluruh warga kampus untuk mengorak langkah bersama sebagai pencetus kepada perubahan ini. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menitikberatkan penghayatan agama yang sebenar akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai peribadi yang unggul dan bersifat ‘towering personality’. Banyak program yang bermanfaat boleh dijalankan seperti Tilawah Al Quran peringat IPT Malaysia dan Seminar Islam Hadhari. Forum Perdana Ehwal Islam yang menggalakkan seluruh mahasiswa tanpa mengira agama, bangsa dan budaya untuk menghadirinya juga amat baik untuk dilaksanakan agar semua pihak terutamanya golongan mahasiswa mendapat manfaatnya.

4. Mengangkasakan keilmuan dalam membentuk mahasiswa berkualiti dan berketerampilan.

Dalam arus pembangunan yang pesat dewasa ini, keperluan terhadap tenaga kerja yang berkualiti adalah berpandukan kepada Modal Insan yang cemerlang. Sebagaimana yang kita ketahui, tanggungjawab sebagai mahasiswa bukan sahaja terhad kepada aktiviti kurikulum malah mahasiswa perlu terlibat secara langsung dengan aktiviti ko kurikulum supaya dapat menghasilkan modal insan yang kompetetif. Kemahiran-kemahiran soft skills seperti kemahiran berorganisasi, berkomunikasi, pengucapan awam, pengkomputeran dan sebagainya perlu disemai dan dipraktikkan sebagai nilai tambah kepada mahasiswa UKM agar bersaing di peringkat global.

Hasrat kami ini bersesuaian dengan kata-kata yang diucapkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis pelancaran Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara. Beliau menyatakan:

“Kita harus sedar bahawa perubahan yang mendadak sedang berlaku di negara lain baik dari segi teknologi, ekonomi mahu pun sosial. Kita perlu menyaingi perubahan itu jika mahu mencapai matlamat menjadi negara maju.
“Sebagai golongan yang dianggap ‘intellectual elite’ di negara ini, kita mempunyai amanah dan tanggungjawab besar untuk menjayakan hasrat dan aspirasi ini”.
Pada pandangan saya, kenyataan di atas jelas menuntut seluruh mahasiswa untuk melengkapkan diri bukan sahaja dengan mutiara ilmu pengetahuan bahkan dituntut juga menyediakan sebanyak mungkin kemahiran- kemahiran lain yang menjadi aksesori pelengkap kepada seseorang mahasiswa yang dapat menyumbangkan idea untuk membangunkan Negara dan bangsa.
Antara harapan kami daripada pihak universiti ialah memperkemaskan kembali pelaksanaan program ‘Finishing School’ yang telah diadakan agar semua pelajar akan dapat mengambil manfaat daripadanya. Oleh yang demikian, pihak MPP UKM mencadangkan agar publisiti besar-besaran dilaksanakan oleh pihak universiti terhadap program ini. Berhubung dengan latihan industri, saya ingin mencadangkan agar pihak pengurusan universiti menetapkan kepada pihak fakulti supaya membantu mahasiswa untuk memilih syarikat-syarikat bertaraf multinasional dengan tujuan supaya mahasiswa UKM menjadi mahasiswa yang terpilih dan layak untuk bekerja di syarikat terbabit setelah tamat pengajian.
Selain itu juga, kami berharap agar pihak universiti menumpukan terhadap kualiti pencapaian graduan UKM dengan menetapkan matlamat sekurang-kurangnya graduan UKM menerima ijazah kelas kedua atas dan kelas pertama sahaja. Hal ini penting bagi menjaga kredibiliti UKM dan menjamin masa depan mahasiswa daripada UKM untuk mendapat pekerjaan kelak.
5. Menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan mahasiswa sebagai duta global seterusnya memperkasa imej UKM.
Dalam usaha untuk bersaing di peringkat global, MPP tidak terkecuali untuk membantu pihak universiti memartabatkan seluruh warganya di mata dunia. Cabaran ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk membangunkan sekurang-kurangnya 10 pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjelang 2010 dari segi penyelidikan, hakcipta, penerbitan, kerjasama penyelidikan dan pengkomersialan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa hasrat kami ini tidak bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang murni.
Segala perkara yang kita lakukan mestilah dapat menjadikan kita seseorang atau bangsa yang mencipta sesuatu perubahan. Janganlah kita menjadi bangsa atau masyarakat yang lemah dalam mencipta apa jua kerana kita akan tertinggal jauh jika berterusan sedemikian. Hal ini jelas ditulis dalam buku ‘Breakthrough Thinking’ oleh Ibrahim Ahmad Bajunid (2002) iaitu:
“A society cannot be truly knowledge society when the society is predominantly a recipient society, receiving and borrowing other people’s knowledge and inventions”.

Oleh itu, PMUKM pada kali ini berminat untuk menjalankan program kerjasama dengan pelajar Malaysia Luar Negara bagi mencapai matlamat pengantarabangsaan pelajar di samping dapat melaksanakan bengkel pemantapan komunikasi dalam bahasa Inggeris di luar negara. Selain itu juga, pihak universiti boleh mempelbagaikan program pengantarabangsaan yang lain seperti Hitachi Young Leadership, International Work Camp dan Seminar Antarabangsa kepada golongan mahasiswa supaya matlamat menjadikan mahasiswa UKM sebagai duta global tercapai. Pihak universiti juga boleh menggalakkan mahasiswa UKM untuk menyempurnakan latihan industri mereka di luar Negara kerana melalui program ini banyak manfaat yang akan diperoleh seterusnya mengiktiraf UKM sebagai Pusat Ilmu terkemuka di dunia ini.
Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan MPPUKM untuk sesi yang baru ini, akan cuba mengemudikan bahtera yang kita sama-sama naiki di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran.
Renungilah kata-kata ini “Berjaya atau gagal kita pada hari esok, bisa dicerminkan melalui usaha kita pada hari ini”. Justeru, kami mengharapkan sokongan semua untuk sama-sama berpadu tenaga menuju satu matlamat yang sama iaitu ke perairan kegemilangan.

Pergi sekolah membawa buku,Bawa bersama kotak makanan,Hidup ini adalah berliku-liku,Teguhkan hati, teruskan perjuangan.Makan sirih berpinang tidak,Pinang ada di atas bata,Sudah selesai ucapan patik
Izinkan patik menutup bicara.

Akhir kata, saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 2007/2008 meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan universiti agar dapat membantu kami menangani segala masalah yang dihadapi oleh golongan mahasiswa UKM. Saya juga berharap agar seluruh barisan kepimpinan MPPUKM yang dikasihi dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan adil.

Atas dasar keterbukaan dan kebersamaan, MPPUKM adalah milik semua dalam membawa aspirasi perjuangan. Maka menjadi tanggungungjawab bersama memperbaiki kepincangan andainya wujud, dan saling memperteguh jika dirasakan rapuh. Saya kira cukuplah amanat ini sampai di sini. Moga bicara ini nokhtahnya bukan di sini cuma, namun yang terlebih penting adalah tindakan kita untuk mengupaya dan menterjemah. Saya mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang hadir pada malam ini. Semoga Allah memberkati perhimpunan kali ini, dan menjadi saksi komitmen kita kepada kepada perjuangan anak bangsa. Sekian. Salam perpaduan.

No comments: