Saturday, June 7, 2008

AUKU...........KEKAL ATAU MANSUH?

salam..........


Walaupun isu ini telah lama diperkatakan oleh pelajar dan pelbagai pihak lain...namun nampaknya masih lagi tiada penyelesaian yang hakiki tentang perkara ini...pihak pelajar sebenarnya telah menanti sejak sekian lama akan perkara ini....namun pihak menteri telah pun mengatakan bahawa mereka telah pun sampai ke peringkat akhir akan perkara ini...saya sebagai wakil pelajar juga amat menantikan perubahan yang baik akan berlaku setelah kabinet meluluskan pindaan terhadap akta ini. Rakan-rakan sekalian...cuba kita bayangkan, ada banyak perkara yang terkandung di dalam AUKU yang tidak difahami oleh pelajar sendiri.....Pada pandangan saya, langkah pihak kerajaan yang begitu mengambil berat tentang kebajikan pelajar haruslah dihargai. Ini membuktikan bahawa suara pelajar di Malaysia tidak hanya dipandang sebelah mata sahaja. Berkaitan dengan AUKU yang ingin dipinda, saya menyambut keadaan ini dengan sikap yang terbuka kerana sudah pasti perkara ini dilakukan untuk kebaikan pelajar pada masa hadapan.

Sebelum ini, AUKU banyak menjadi bahan bualan pelajar kerana terdapat beberapa perkara penting di dalamnya yang dikatakan telah menakutkan pelajar sehingga ada pelajar yang mudah terpengaruh dengan fitnah yang tidak munasabah semasa pilihanraya kampus. Hal ini akan mengakibatkan pelbagai perkara buruk akan berlaku dikampus terutamanya.

Saya sebagai wakil pelajar di kampus juga amat mengharapkan pindaan yang akan dilakukan dapat mejadikan pelajar lebih beketerampilan dan bijak menangani sesuatu isu yang diperdebatkan. Komen saya terhadap kata-kata yang diutarakan oleh YAB Timb. Perdana Menteri baru-baru ini ialah beliau cuba memaklumkan kepada pelajar bahawa sebarang perubahan yang akan dilakukan adsalah semata-mata untuk menggalakkan pelajar bergiat dalam kegiatan yang lebih konstruktif. Janganlah pelajar hanya mendesak untuk melibatkan diri dalam politik semata-mata kerana ini semua hanya akan membawa kepada kelalaian.

Saya juga berharap pihak kerajaan memberi kebebasan sewajarnya kepada pelajar dalam mengembangkan idea yang bernas tentang politik negara, mungkin setelah AUKU dipinda, pelajar dapat lebih bebas berdiskusi tentang politik negara tetapi diskusi yang dibenarkan hanyalah yang berkaitan dengan ilmiah dan usaha untuk pembinaan negara bangsa yang terkehadapan.

Harga minyak amat melampau!!!!

assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian....
kali ini seluruh rakyat malaysia telah pun dikejutkan oleh kenaikan harga minyak yang amat tinggi. saya juga amat terkejut dengan perkara ini. sebagai pemimpin mahasiswa perkara ini amat memberikan kesan terutamanya kepada golongan pelajar. sebagai golongan yang berilmu...saya ini mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengemaskan kini kan lagi sistem subsidi yang di berikan kepada rakyat negara ini...Antaranya pihak kerajaan boleh memberikan subsidi kepada syarikat minyak Petronas kita....ini kerana hasil itu adalah milik negara dan jika perkara itu dijalankan maka keuntungan hasil penjualan minyak itu pasti akan balik kepada negara kita juga....jgnlah kita beri subsidi kepada orang lain...rakyat kita masih banyak lagi yang susah dan miskin.........saya amat sedih perkara ini berlaku kepada semua rakyat....selain itu, cadangan untuk menambahkan lagi pemasangan tangki NGV di stesen-stesen minyak seluruh negara juga perlu di atasi segera. ini kerana memang sudah terbukti bahawa NGV adalah perkara yang amat baik untuk pihak kerajaan lakukan........sama-samalah kita berdoa agar allah taala mempermudahkan segala urusan kita dalam menangani segala masalah yang berlaku.........

Friday, June 6, 2008

Mengetuai bacaan ikrar Majlis Perwakilan Pelajar


pada ketika ini, saya mengetuai rakan-rakan semasa melafazkan ikrar MPP bagi sesi 2007/2008.....

SEMASA LAWATAN KE HYDERABAD, INDIA


Gambar ini di rakam ketika berada di osmania university di india, begitu menarik pemandangan di sini dan pelbagai perkara yang penulis pelajari daripada lawatan ini...kami juga berkesempatan untuk berdialog dengan pegawai kanan universiti ini dan mereka banyak memberikan pandangan pandangan yang cukup bernas dalam aspek berkaitan kegiatan pelajar dan gerakan pelajar. teknologi yang mereka gunakan untuk membantu proses pembelajaran juga amat unik dan tidak didapati di malaysia......





LAGI PANDANGAN DI MEDIA..........

Suara MPP: MPPUKM puas hati selesai aduan siswa
Yang Dipertuanya, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata kejayaan itu hasil hubungan erat yang diwujudkan MPPUKM dengan mahasiswa sekali gus memberi kemudahan menyelesaikan masalah berbangkit.Menurutnya, jurang komunikasi antara mahasiswa dengan MPPUKM berjaya diatasi menyebabkan mereka tidak segan berkongsi masalah seterusnya mencari jalan penyelesaian,
"Ini berjaya menangkis tanggapan negatif segelintir pihak yang menuduh MPPUKM tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik."Kami berusaha mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain dan menjaga kebajikan mereka."Pada masa sama bersikap terbuka menerima teguran demi kebaikan bersama. Sehingga kini MPPUKM berpuas hati kerana dapat menangani masalah malah berharap dapat memberi perkhidmatan lebih baik pada masa depan," katanya.Tahap keselamatan juga sentiasa dipertingkatkan manakala MPPUKM cuba mengatasi masalah kesesakan terutama pada waktu puncak di kawasan kampus.Menurutnya, masalah itu sukar diatasi kerana bukan saja membabitkan kenderaan mahasiswa tapi juga pensyarah dan orang luar yang berurusan di UKM."Apa yang boleh dilakukan ialah memastikan kemudahan atau peraturan diikuti bagi mengelakkan keadaan bertambah sesak. Kami mendapati masalah ini hanya berlaku pada waktu pagi dan petang."MPPUKM berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti bagi mencari alternatif terbaik mengatasi masalah ini. Apapun ia hanya masalah terpencil yang boleh diselesaikan," katanya.

pandangan pelajar


Usah kongkong pelajar berpolitik


Oleh Zainab Mohd Yatim


Persatuan harap pindaan AUKU tak sekat hak mahasiswaKUALA LUMPUR: Pertubuhan perwakilan pelajar universiti berharap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak disertai peraturan baru yang mengongkong khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik. Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat.
"Kami menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda AUKU, tetapi isu yang menjadi perdebatan ketika ini ialah mengenai pembabitan pelajar dalam politik dan ini tidak seharusnya dijadikan teras pindaan. "Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, yang memberi jaminan pindaan kepada AUKU tidak akan mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif.
Mohd Zaid berkata, kehidupan mahasiswa seharusnya tidak terhad hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial dan perpustakaan, sebaliknya membabitkan seluruh kehidupan universiti dan masyarakat, termasuk kokurikulum, kebajikan dan politik kampus. Pembabitan seumpamanya mampu untuk mematangkan kepemimpinan mahasiswa dan membuka minda mereka untuk memandang kepada dunia luar sebagai penilaian mengenai apa yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat. Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan. "Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.
"Malah bukan isu politik saja yang menjadi minat pelajar, sebaliknya pelbagai isu semasa dalam negara dan global, yang juga tidak dapat lari daripada perkembangan politik semasa," katanya dengan keyakinan pindaan itu akan 'membebaskan' pelajar universiti, bukan untuk jalan salah, sebaliknya bebas untuk membina kecemerlangan diri. Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, berkata perbincangan mengenai AUKU lebih kepada isu yang mengikat pelajar daripada isu berkaitan politik. "Akta yang terhad akan membantutkan minda pelajar untuk melahirkan pendapat dan berhujah sedangkan ini adalah sebahagian kemahiran ini yang perlu dijana dalam diri seorang pelajar cemerlang," katanya.


Kenangan ini di semat di dalam hatiku.....pada ketika ini aku baru sahaja selesai majlis penyampaian watikah MPP UKM, bermula pada hari ini lah secara rasmi tugasku sebagai seorang ahli MPP yang telah pun dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwak kebajikan pelajar di UKM...semoga aku dan rakan-rakan seperjuangan yang lain akan menjalankan tugas dengan baik dan adil....insyaallah....

berucap semasa ucapan dasar Presiden PMUKM 07/08 di Bilik Senat, UKM


Bismillahirrahmaanirrahim……
Assalamu'alaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Datuk Dr. Sukiman Sarmani,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, UKM

Yang Berbahagia Prof Dato’ Dr. Ibrahim Komoo,
Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM

Yang Berbahagia Prof. Dr Saran Kaur a/p Delip Singh,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM

Pegawai-Pegawai Kanan UKM

Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman,

Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2007/2008,

dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, dan marilah kita berselawat dan mengutuskan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinan-Nya, maka pada hari yang bersejarah ini kita semua dapat berkumpul dalam satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah Dan Penyampaian Ucapan Dasar Presiden MPPUKM Sesi 2007/2008.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang ditubuhkan di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam merupakan salah satu platform untuk mengembangkan dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa depan. Penubuhan MPP juga merupakan satu badan penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan atasan universiti dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul di kampus.

Saya ingin memetik laungan yang sering dikumandangkan oleh seorang tokoh Indonesia. Beliau berkata, “Pemimpin itu tidak lahir dalam bilik-bilik kuliah namun lahir daripada kemelut permasalahan masyarakat”. Hal ini memberi erti yang jelas bahawa penubuhan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar ini jelas bertujuan untuk membantu mahasiswa dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Sidang hadirin sekalian,

Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kampus yang kita lalui pada hari ini sentiasa mengalami arus perubahan. Saban hari, ada saja pelbagai masalah dan isu baru yang timbul. Hal ini menyebabkan kita sebagai mahasiswa kadang-kala berasa tertekan dan ditekan. Sikap keterbukaan mahasiswa dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang munasabah untuk kepentingan bersama.


Ibarat perumpamaan dalam pepatah inggeris ini:

“There are three kinds of people… the one who sits in the chair of life looking and doing nothing (and becoming nothing), the second person who changes with time and by all the factors of change, and the last person is the one who create the changes.”

Berdasarkan kepada pekara di atas, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi ini telah menggariskan 5 dasar utama yang mendukung tema ‘Aspirasi Universiti Teras Perjuangan Mahasiswa’ dan seterusnya menjadi ‘the one who create the changes’. Dasar tersebut ialah:
1. Memperkasa agenda perpaduan dan integrasi kaum di kalangan mahasiswa
2. Perjuangan hak mahasiswa sebagai agenda utama.
3. Memfokuskan pelaksanaan konsep Islam Hadhari menggunakan pendekatan yang lebih efektif.
4. Mengangkasakan keilmuan dalam membentuk mahasiswa berkualiti dan berketerampilan.
5. Menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan mahasiswa sebagai duta global seterusnya memperkasa imej UKM.




Hadirin yang dihormati sekalian,
1. Memperkasa agenda perpaduan dan integrasi kaum di kalangan mahasiswa.
Selaras dengan hasrat universiti yang mahukan perpaduan dan integrasi di kalangan mahasiswa UKM diperkukuh, pelbagai aktiviti dan wacana pembudayaan telah pun dilaksanakan. Oleh itu, integrasi yang kukuh ini perlulah sentiasa di semai dan dibajai dengan galakan yang berterusan oleh semua pihak. Alangkah indah, sekiranya kita barjaya untuk mengharumkan suasana taman ilmu dan budi ini dengan wangian perpaduan yang senantiasa mekar hingga ke akhirnya.
Seorang sarjana Islam pernah bermadah “Bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan merinduinya dan jika kamu mati mereka akan menangisinya”.
Justeru, pihak kami di barisan kepimpinan MPPUKM akan berkongsi pandangan dan buah fikiran dengan seluruh warga kampus dalam mencapai matlamat ini. Segala isu yang berbangkit berkenaan agenda ini akan segera ditangani dan diberi perhatian yang serius.
Antara program yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi di kalangan mahasiswa ialah pertandingan Debat Perpaduan peringkat IPT Malaysia, Kem Bina Insan dan Jatidiri Bangsa Malaysia, Karnival Sukan Integrasi Peringkat Universiti dan Pesta Kebudayaan Bangsa Malaysia Peringkat IPT Malaysia. Semua program ini amat bermanfaat dan berbaloi untuk menjayakan hasrat semua pihak. Saya amat mengimpikan masyarakat kampus kini menjadi masyarakat yang memiliki minda yang terbuka.
Saya juga bangga jika universiti ini dikenali di seluruh dunia kerana membina tamadun yang berjaya menggabungkan pelbagai budaya secara harmoni. Impian ini Insya’Allah menjadi nyata dengan kesediaan kita membina masyarakat yang mengutamakan keharmonian budaya tanpa menjadikan batas agama sebagai penghalangnya.
2. Perjuangan hak mahasiswa sebagai agenda utama.
Pada kali ini, kepimpinan yang baru akan meneruskan tradisi perjuangan MPP sesi lepas dalam segala hal berkaitan kebajikan mahasiswa. Perjuangan mengenai hak ini sangat penting untuk dijaga kerana benih yang dituai itu perlu kepada penjagaan yang rapi jika mahukan hasil yang membanggakan. Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar pada sesi ini telah pun bersepakat memberi penekanan terhadap 4 perkara utama.
i. Kediaman
Sebagaimana yang kita ketahui, masalah yang berbangkit adalah mengenai yuran kolej yang tidak selaras, kemudahan tandas yang tidak selesa, perkhidmatan kafeteria dan harga makanan yang masih mahal di dalam kawasan kampus dan kolej kediaman. Oleh itu, kami merayu dan bertekad supaya perhatian yang serius akan diambil oleh pihak pengurusan atasan universiti bagi membantu untuk menyelesaikan perkara ini. Saya juga memohon agar pihak Dato’ untuk terus memberikan sokongan padu dalam cita-cita kami bagi mengatasi segala masalah yang timbul ini dengan berkesan dan berjaya.

ii. Pengangkutan
Masalah ini merupakan masalah yang kerap kali diketengahkan. Walaubagaimanapun, kami tidak akan memandang remeh perkara ini. Usaha yang berterusan bersama bantuan pihak pengurusan atasan universiti pasti akan membuahkan hasil. Saya memohon pihak Dato’ untuk mengambil perhatian yang serius terhadap beberapa masalah yang berkaitan perkara ini. Antara masalah mahasiswa UKM terhadap aspek pengangkutan ini ialah berkaitan kenderaan seperti bas dan kenderaan universiti yang lain. Golongan mahasiswa UKM sering menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem perjalanan bas di UKM. Oleh itu, saya memohon pihak Dato’ membantu kami dengan memperkemaskan lagi jadual perjalanan bas yang sedia ada. Selain itu, saya juga ingin memohon kepada pihak pengurusan atasan universiti agar lebih mengutamakan permohonan pelajar untuk menggunakan kenderaan universiti dalam segala aspek. Sekiranya permohonan pelajar ini tidak diutamakan, maka ramai golongan mahasiswa yang akan terkandas dalam menghadiri program-program yang penting yang mana program ini juga merupakan program anjuran universiti.
Berpaksikan iltizam yang telah dinyatakan, MPPUKM akan membina satu pasukan yang mantap dan prihatin bagi menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh warga kampus. Dengan cogankata ‘masalah anda, masalah kami’, pihak kami akan sedaya upaya melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kepentingan semua pihak.

iii. Infrastruktur
Perubahan dan pembaharuan yang dapat dinikmati kita pada hari ini merupakan hasil perjuangan yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Oleh itu, kami barisan MPPUKM akan sentiasa memperjuangkan masalah yang di hadapi warga kampus demi kebaikan mahasiswa sekalian.
Permasalahan mengenai infrastruktur juga penting untuk diambil perhatian. Sebagai contoh, masalah kawasan meletak kenderaan yang terhad, kekurangan susur gajah di sekitar kampus, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan sebagainya merupakan masalah yang perlu ditangani segera. Hal ini kerana, masalah-masalah ini telah menyebabkan berlakunya pelbagai perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, masalah ponteng kuliah dan sebagainya.
Saya juga ingin meluahkan hasrat seluruh warga mahasiswa agar pihak pengurusan atasan universiti mengambil berat akan masalah yang saya sebutkan tadi dan segera mengambil langkah penyelesaian yang efisyen agar tidak akan ada lagi masalah yang timbul. Untuk pengetahuan pihak Dato’, masalah kemalangan di dalam kawasan kampus kita amatlah serius. Hal ini dibuktikan melalui pengalaman saya sendiri yang turut sama membantu menghantar pelajar yang cedera akibat kemalangan ke pusat kesihatan UKM dan Hospital yang berdekatan. Walaupun kecuaian merupakan faktor utama masalah ini berlaku, namun punca-punca lain seperti lampu jalan yang tidak berfungsi juga menjadi faktor penting masalah ini terjadi.

iv. Kemudahan
Dalam menjayakan usaha pihak universiti untuk memartabatkan imej UKM di peringkat global, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk memelihara kebajikan mahasiswa. Oleh itu, kami barisan MPPUKM akan melipatgandakan usaha untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan yang timbul berhubung dengan perkara ini.

Antara masalah yang sering diutarakan oleh mahasiswa ialah berkaitan pinjaman atau biasiswa, kemudahan internet, kekurangan kawasan untuk mengulangkaji pelajaran, dan sebagainya. Justeru, pihak kami MPPUKM akan lebih peka dan mengambil perhatian yang serius terhadap setiap masalah yang dihadapai oleh golongan mahasiswa di kampus.

Dalam rangka untuk meningkatkan keselesaan kepada golongan mahasiswa, saya mencadangkan agar pihak Dato’ dapat memberi kebenaran untuk mewujudkan kawasan pembelajaran 24 jam di beberapa tempat di UKM ini. Sebagai contoh, kawasan laman Perpustakaan Tun Seri Lanang dan pusat kemudahan pelajar di kolej kediaman merupakan kawasan yang strategik untuk digunakan pelajar bagi aktiviti pembelajaran terutamanya pada musim peperiksaan. Hal ini akan dapat memberi kemudahan kepada para pelajar untuk mengulangkaji pelajaran mereka dalam keadaan yang lebih baik.



Untuk pengetahuan pihak Dato’, perkhidmatan jaringan internet tanpa wayar juga sering medapat perhatian oleh warga kampus. Oleh itu, saya memohon perkara ini dapat diselesaikan segera pada sesi kami pada kali ini agar semua pihak dapat menikmati kemudahan ini dengan segera demi manfaat semua.

Pada kali ini, kami sebagai MPP juga ingin memohon kepada pihak pengurusan universiti agar dapat menyediakan komputer di pejabat kami kepada semua exco PMUKM agar segala aktiviti dapat dijalankan dengan lebih mudah dan perkhidmatan kami kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif dan berkesan. Begitu juga dengan keadaan pejabat kami yang sangat sederhana dan saya dengan sukacitanya menjemput pihak Dato’ agar berkunjung ke pejabat kami untuk melihat keadaan yang sebenar. Permintaan atau cadangan yang kami berikan ini bukanlah untuk kepentingan peribadi, tetapi semua ini untuk kepentingan bersama dan demi menjaga imej UKM di peringkat global. Selepas ini, sudah pasti banyak delegasi yang akan datang ke UKM dan apabila semua perkara ini dapat diberikan, maka sudah pasti pandangan masyarakat luar akan terus tinggi terhadap UKM dan sememangnya UKM merupakan yang terbaik dan terhebat.






3. Memfokuskan pelaksanaan konsep Islam Hadhari menggunakan pendekatan yang lebih efektif.

Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.
Hal ini secara jelas tidak akan merosakkan segala keharmonian yang telah wujud. Prinsip dalam Islam Hadhari yang diamalkan ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Kampus kita juga dicorakkan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama. Setiap agama mempunyai corak dan budaya yang unik dan tersendiri. Menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli keluarga yang besar ini seharusnya memiliki budaya toleransi dan hormat-menghormati terhadap penghayatan dan pengamalan agama masing-masing. Matlamat untuk membina kampus sejahtera akan tercapai seandainya setiap mahasiswa mengamalkan keseluruhan tuntutan agama masing-masing. Saya percaya bumi UKM yang tercinta ini berjaya melahirkan ilmuan yang disegani dan insan yang berakhlak yang mulia.

Maka dengan ini, MPPUKM ingin menggalakkan seluruh warga kampus untuk mengorak langkah bersama sebagai pencetus kepada perubahan ini. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menitikberatkan penghayatan agama yang sebenar akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai peribadi yang unggul dan bersifat ‘towering personality’. Banyak program yang bermanfaat boleh dijalankan seperti Tilawah Al Quran peringat IPT Malaysia dan Seminar Islam Hadhari. Forum Perdana Ehwal Islam yang menggalakkan seluruh mahasiswa tanpa mengira agama, bangsa dan budaya untuk menghadirinya juga amat baik untuk dilaksanakan agar semua pihak terutamanya golongan mahasiswa mendapat manfaatnya.

4. Mengangkasakan keilmuan dalam membentuk mahasiswa berkualiti dan berketerampilan.

Dalam arus pembangunan yang pesat dewasa ini, keperluan terhadap tenaga kerja yang berkualiti adalah berpandukan kepada Modal Insan yang cemerlang. Sebagaimana yang kita ketahui, tanggungjawab sebagai mahasiswa bukan sahaja terhad kepada aktiviti kurikulum malah mahasiswa perlu terlibat secara langsung dengan aktiviti ko kurikulum supaya dapat menghasilkan modal insan yang kompetetif. Kemahiran-kemahiran soft skills seperti kemahiran berorganisasi, berkomunikasi, pengucapan awam, pengkomputeran dan sebagainya perlu disemai dan dipraktikkan sebagai nilai tambah kepada mahasiswa UKM agar bersaing di peringkat global.

Hasrat kami ini bersesuaian dengan kata-kata yang diucapkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis pelancaran Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara. Beliau menyatakan:

“Kita harus sedar bahawa perubahan yang mendadak sedang berlaku di negara lain baik dari segi teknologi, ekonomi mahu pun sosial. Kita perlu menyaingi perubahan itu jika mahu mencapai matlamat menjadi negara maju.
“Sebagai golongan yang dianggap ‘intellectual elite’ di negara ini, kita mempunyai amanah dan tanggungjawab besar untuk menjayakan hasrat dan aspirasi ini”.
Pada pandangan saya, kenyataan di atas jelas menuntut seluruh mahasiswa untuk melengkapkan diri bukan sahaja dengan mutiara ilmu pengetahuan bahkan dituntut juga menyediakan sebanyak mungkin kemahiran- kemahiran lain yang menjadi aksesori pelengkap kepada seseorang mahasiswa yang dapat menyumbangkan idea untuk membangunkan Negara dan bangsa.
Antara harapan kami daripada pihak universiti ialah memperkemaskan kembali pelaksanaan program ‘Finishing School’ yang telah diadakan agar semua pelajar akan dapat mengambil manfaat daripadanya. Oleh yang demikian, pihak MPP UKM mencadangkan agar publisiti besar-besaran dilaksanakan oleh pihak universiti terhadap program ini. Berhubung dengan latihan industri, saya ingin mencadangkan agar pihak pengurusan universiti menetapkan kepada pihak fakulti supaya membantu mahasiswa untuk memilih syarikat-syarikat bertaraf multinasional dengan tujuan supaya mahasiswa UKM menjadi mahasiswa yang terpilih dan layak untuk bekerja di syarikat terbabit setelah tamat pengajian.
Selain itu juga, kami berharap agar pihak universiti menumpukan terhadap kualiti pencapaian graduan UKM dengan menetapkan matlamat sekurang-kurangnya graduan UKM menerima ijazah kelas kedua atas dan kelas pertama sahaja. Hal ini penting bagi menjaga kredibiliti UKM dan menjamin masa depan mahasiswa daripada UKM untuk mendapat pekerjaan kelak.
5. Menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan mahasiswa sebagai duta global seterusnya memperkasa imej UKM.
Dalam usaha untuk bersaing di peringkat global, MPP tidak terkecuali untuk membantu pihak universiti memartabatkan seluruh warganya di mata dunia. Cabaran ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk membangunkan sekurang-kurangnya 10 pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjelang 2010 dari segi penyelidikan, hakcipta, penerbitan, kerjasama penyelidikan dan pengkomersialan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa hasrat kami ini tidak bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang murni.
Segala perkara yang kita lakukan mestilah dapat menjadikan kita seseorang atau bangsa yang mencipta sesuatu perubahan. Janganlah kita menjadi bangsa atau masyarakat yang lemah dalam mencipta apa jua kerana kita akan tertinggal jauh jika berterusan sedemikian. Hal ini jelas ditulis dalam buku ‘Breakthrough Thinking’ oleh Ibrahim Ahmad Bajunid (2002) iaitu:
“A society cannot be truly knowledge society when the society is predominantly a recipient society, receiving and borrowing other people’s knowledge and inventions”.

Oleh itu, PMUKM pada kali ini berminat untuk menjalankan program kerjasama dengan pelajar Malaysia Luar Negara bagi mencapai matlamat pengantarabangsaan pelajar di samping dapat melaksanakan bengkel pemantapan komunikasi dalam bahasa Inggeris di luar negara. Selain itu juga, pihak universiti boleh mempelbagaikan program pengantarabangsaan yang lain seperti Hitachi Young Leadership, International Work Camp dan Seminar Antarabangsa kepada golongan mahasiswa supaya matlamat menjadikan mahasiswa UKM sebagai duta global tercapai. Pihak universiti juga boleh menggalakkan mahasiswa UKM untuk menyempurnakan latihan industri mereka di luar Negara kerana melalui program ini banyak manfaat yang akan diperoleh seterusnya mengiktiraf UKM sebagai Pusat Ilmu terkemuka di dunia ini.
Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan MPPUKM untuk sesi yang baru ini, akan cuba mengemudikan bahtera yang kita sama-sama naiki di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran.
Renungilah kata-kata ini “Berjaya atau gagal kita pada hari esok, bisa dicerminkan melalui usaha kita pada hari ini”. Justeru, kami mengharapkan sokongan semua untuk sama-sama berpadu tenaga menuju satu matlamat yang sama iaitu ke perairan kegemilangan.

Pergi sekolah membawa buku,Bawa bersama kotak makanan,Hidup ini adalah berliku-liku,Teguhkan hati, teruskan perjuangan.Makan sirih berpinang tidak,Pinang ada di atas bata,Sudah selesai ucapan patik
Izinkan patik menutup bicara.

Akhir kata, saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 2007/2008 meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan universiti agar dapat membantu kami menangani segala masalah yang dihadapi oleh golongan mahasiswa UKM. Saya juga berharap agar seluruh barisan kepimpinan MPPUKM yang dikasihi dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan adil.

Atas dasar keterbukaan dan kebersamaan, MPPUKM adalah milik semua dalam membawa aspirasi perjuangan. Maka menjadi tanggungungjawab bersama memperbaiki kepincangan andainya wujud, dan saling memperteguh jika dirasakan rapuh. Saya kira cukuplah amanat ini sampai di sini. Moga bicara ini nokhtahnya bukan di sini cuma, namun yang terlebih penting adalah tindakan kita untuk mengupaya dan menterjemah. Saya mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang hadir pada malam ini. Semoga Allah memberkati perhimpunan kali ini, dan menjadi saksi komitmen kita kepada kepada perjuangan anak bangsa. Sekian. Salam perpaduan.
ISU :
KESELAMATAN NEGARA

Disediakan oleh :
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

PENGENALAN

Isu keselamatan negara merupakan suatu aspek yang sangat kritikal dan memerlukan perhatian daripada semua pihak. Suatu perkara yang amat menyedihkan sekiranya seseorang warganegara Malaysia mempunyai persepsi dan pemikiran bahawa menjaga keselamatan negara merupakan tanggungjawab dan peranan pihak polis dan tentera sahaja. Tambahan pula, senario dunia pada hari ini telah membuktikan keselamatan sesebuah negara bukan sekadar melibatkan kekuatan ketenteraan sahaja. Malah, terdapat beberapa dimensi lain yang perlu diambil perhatian. Antaranya keselamatan nasional, tradisional, bukan tradisional, politik, sosial, masyarakat dan alam sekitar.

2. Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai sejak merdeka menjadikan Malaysia semakin dikenali di seantero dunia. Malah, kepimpinan negara turut disegani dan menjadi contoh kepada beberapa buah negara lain. Faktor geografi yang strategik juga menyebabkan negara menjadi tumpuan pelbagai pihak, termasuklah kuasa – kuasa besar. Perkara ini sememangnya memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi negara. Namun, keselamatan negara perlu diperketatkan kerana kemasukan anasir – anasir luar yang tidak terkawal akan membawa musibah kepada negara.

3. Justeru, aspek keselamatan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan segala pencapaian dan keamanan negara dapat dikekalkan untuk generasi hadapan. Tanggungjawab penting ini perlu digalas bersama oleh setiap individu terutamanya dalam memastikan negara seiring dan setaraf dengan negara maju. Proses ini bukanlah suatu perkara yang mudah dan dipandang enteng. Tambahan pula, negara sememangnya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menongkah era globalisasi dan merealisasikan Wawasan 2020. Namun, semua impian tidak akan menjadi kenyataan seandainya negara dijajah semula akibat kelalaian dan tidak mementingkan aspek keselamatan.

ISU / MASALAH

4. Antara masalah yang berkaitan dengan isu keselamatan negara ialah :

Kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
Kemelut isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin ke negara ini telah diklasifikasikan sebagai isu keselamatan bukan tradisional yang perlu diberi perhatian serius. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh imigresen, seramai 28,468 orang pendatang asing tanpa izin telah dihadapkan ke Mahkamah PATI di Depoh Imigresen dari Disember 2006 hingga 3 Januari lalu dan telah dijatuhi hukuman. Selain itu, seramai 53,010 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan pada tahun 2007. Golongan ini juga sering terlibat dalam kes – kes jenayah seperti bergaduh, samun, bunuh, merompak dan rogol. Akibatnya, kadar jenayah di negara semakin meningkat dan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan selamat.

Penagihan dadah
Umum mengetahui pada tahun 1983, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan dadah sebagai suatu ancaman berbahaya kepada keselamatan negara, sekaligus memberi takrifan penagihan dadah daripada masalah sosial kepada masalah keselamatan negara. Kebelakangan ini, kadar penagih dadah di kalangan remaja dan belia yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara semakin meningkat. Statistik yang dikeluarkan oleh PEMADAM pada tahun 2005 menunjukkan jumlah penagih dadah yang berumur 18 tahun hingga 29 tahun adalah seramai 12,549 orang. Masalah dadah telah mengundang pelbagai kesan buruk termasuklah meningkatkan kadar jenayah, keganasan, peningkatan kes HIV seterusnya melemahkan ketahanan nasional. Hal ini berlaku apabila mereka mula hilang kewarasan dan tidak lagi memikirkan tanggungjawab yang sedang dipikul.

Gerakan Pemisah di negara jiran
Tindakan pencerobohan bersenjata dengan memasuki wilayah Malaysia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara iaitu pencabulan terhadap kedaulatan negara. Keselamatan negara akan terancam sekiranya berlaku penculikan dan masyarakat akan hidup dalam ketakutan. Segala aktiviti harian juga akan terjejas akibat pencerobohan yang berlaku.

CADANGAN PENYELESAIAN / RASIONAL

5. Berikut merupakan cadangan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Antaranya ialah :

Menambah bilangan pegawai imigresen untuk mengawasi laluan terpencil yang menjadi pintu masuk pendatang asing tanpa izin. Serbuan ke premis – premis yang menjadi tempat persembunyian golongan ini perlu dijalankan dengan kerap.

Meningkatkan kualiti infrastruktur di pintu masuk utama negara. Mesin pengimbas yang digunakan mempunyai kebolehan mengesan dadah yang dibawa oleh penyeludup. Perkara ini memerlukan kepakaran dalam bidang teknologi.

Mewujudkan kerjasama yang baik di antara pihak kerajaan dan pihak bukan kerajaan yang terlibat dalam menjaga keselamatan di peringkat yang lebih rendah. Contohnya, mewujudkan kerjasama di antara jabatan imigresen dengan pihak jawatankuasa kampung yang berhampiran dengan pintu masuk negara atau pun kawasan yang menjadi sasaran pendatang asing. Ini akan memudahkan sebarang maklumat disampaikan di antara satu sama lain.

Membentuk masyarakat penyayang terhadap bekas – bekas penagih dadah. Keadaan ini dapat membantu para penagih dadah daripada kembali menagih dadah di samping membina keyakinan diri yang tinggi untuk berbakti kepada bangsa dan negara. Anggota masyarakat pula perlu mengajak dan mendorong bekas – bekas penagih menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

Menubuhkan kelab/persatuan anti dadah di setiap institut pengajian tinggi. Badan ini perlu bergiat aktif dalam memberi pendedahan dan kempen kesedaran kepada golongan mahasiswa dan remaja berkaitan bahaya dadah serta taktik – taktik terbaru yang digunakan oleh sindiket dadah.

Menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepada pihak yang membekalkan dadah kepada para penagih. Hal ini termasuklah pusat – pusat perubatan dan klinik yang menjual bekalan ubat – ubatan seperti ubat batuk kepada para penagih dadah.

PENUTUP

6. Isu keselamatan negara sememangnya memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Sebarang kelalaian dan kesilapan kecil mampu mengundang musibah besar kepada negara. Generasi muda perlu sedar akan kepentingan menjaga keselamatan negara agar segala kesusahan dan pengorbanan generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tidak sia – sia.

profile diriku

Nama diberi Mohd Zaid bin Mohd Idrus. Dilahirkan di Hospital Batu Pahat Johor pada tanggal 4 oktober 1985. Kini berusia 23 tahun. Mendapat pendidikan pertama di tabika kemas Kem Polis Hutan, Simpang Renggam, Johor. Kemudian, meneruskan pelajaran ke Sek. Ren. Jubli Intan Renggam, Johor sehingga ke peringkat ujian penilaian sekolah rendah. Selepas itu, meneruskan pengajian peringkat menengah ke Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Johor, Kluang. Setelah lulus penilaian menengah rendah dan sijil pelajaran Malaysia, penulis mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke Kolej Islam Sultan Alam Shah bagi mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Walaupun sebelum itu, penulis pernah mengikuti kursus Sijil Tinggi Agama Malaysia di Maahad Johor selama lima bulan, namun selepas itu penulis telah menukar fikiran dengan bertekad mengambil STPM bagi membolehkan penulis menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda dalam bidang ekonomi hingga kini. Penulis merupakan orang pertama di kalangan keluarga yang Berjaya masuk ke university dan alhamdulillah akan bergraduan tidak lama lagi…………………..